Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 telah membuat keputusan melantik DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizuddin Shah sebagai Pengerusi MKI, bagi tempoh dua (2) tahun berkuatkuasa 9 Mac 2024 dan berakhir 8 Mac 2026.
Perlantikan Baginda adalah untuk menggantikan DYMM Sultan Selangor Darul Ehsan Sultan Sharafuddin Idris Shah yang telah tamat menjalankan tugas sebagai Pengerusi MKI selama dua tahun. Walaupun terdapat titah gesaan daripada DYMM Raja-Raja agar Baginda menyambung khidmat yang mulia dan cemerlang selama dua tahun lagi, Baginda bertegas untuk mengundur diri, supaya tugas dan peranan penting sebagai Pengerusi MKI dipertanggungkan kepada seorang Raja lain, dengan menghujahkan bahwa tugas serta amanah yang besar itu dipertanggungkan secara bergilir-gilir yang melambangkan semangat kebersamaan tanggungjawab dalam kalangan Raja-Raja sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing untuk menjaga dan memelihara Agama Islam menurut yang termaktub dalam perlembagaan.
DYMM Raja-Raja menghargai kehendak dan asbab Baginda untuk tidak berkenan dilantik semula.
Seterusnya DYMM Raja-Raja telah memperkenankan agar DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizuddin Shah, menjadi Pengerusi MKI. Baginda menyambut keputusan DYMM Raja-Raja untuk meneruskan khidmat bakti cemerlang DYMM Sultan Selangor dengan harapan akan dapat nasihat dan bimbingan berterusan daripada DYMM Raja-Raja disamping memohon mendapat petunjuk llahi untuk menyempurnakan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai Pengerusi MKI.
(SYED DANIAL)
Penyimpan Mohor Besar Raja-raja,
30 April 2024 / 21 Syawal 1445