Majlis yang berlangsung bermula dari 23-25 Mei 2022 yang dihadiri wakil daripada 13 buah Maahad Tahfiz al-Quran Negeri (MQTN) termasuk Darul Quran telah selesai bersidang. Pada persidangan sesi kali ini, Kolej Al-Quran Sayyidina Ali (KAQSA) telah dipilih untuk menjadi tuan rumah bersama dengan Darul Quran Jakim. Lokasi persidangan yang dipilih ialah di Hotel Hatten, Melaka. Dalam persidangan ini , Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat ADDIN telah mewakilkan Tuan Haji Mohd Sabri Bin Nordin bagi menyertai majlis persidangan ini. Majlis dimulai dengan MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN PENGETUA MAAHAD TAHFIZ AL-QURAN NEGERI PERINGKAT KEBANGSAAN KALI KE-40 yang dirasmikan oleh YB Datuk Rais Yasin, EXCO Pendidikan dan Teknologi Negeri mewakili YAB Datuk Seri Utama Dr Hj Sulaiman bin Md Ali, Ketua Menteri Melaka.
Turut bersama Datuk Wira Hj. Rawi bin Mahmud, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM); Dato' Dr Sirajuddin bin Suhaimee, Timb Ketua Pengarah Dasar; Ustaz Muhammad Kori bin Jusoh, Pengarah Darul Quran JAKIM dan Ustazah Noorhafizah, Ketua Bahagian Pengurusan Pendidikan Jabatan Agama Islam Melaka. Pada malam perasmian itu juga , berlangsungnya Majlis Memeterai Perjanjian Dana Wakaf Pendidikan Kolej al-Quran Sayyidina Ali (KAQSA) antara Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dengan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).Penubuhan Dana Wakaf Pendidikan tersebut adalah bertujuan untuk memacu pembangunan KAQSA bagi melahirkan lebih ramai modal insan huffaz yang akan berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara.
Pada Rabu , 25 Mei 2022 , YBhg Dato' Che Sukri Che Mat, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka merasmikan Majlis Penutup Persidangan Pengetua-Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Peringkat Kebangsaan Kali ke-40.